KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) menegaskan tidak pernah secara rasmi melantik mana-mana pihak untuk menyediakan perkhidmatan membersih atau membaik pulih batu nisan di kawasan Tanah Perkuburan Islam Samariang (TPS).

LAKMNS dalam kenyataan berkata, sementara bagi sebarang urusan berkaitan membuat dan membaik pulih napor di kawasan TPS adalah melalui panel kontraktor lantikan pihaknya.

“Pihak kita tidak terlibat dalam apa sahaja urusan serta transaksi antara orang awam, waris dan panel kontraktor.

“Segala perjanjian adalah menjadi tanggungjawab waris dan panel kontraktor yang dilantik,” kata LAKMNS dalam kenyataan, semalam.

Kenyataan itu bagi menjelaskan satu hantaran di Facebook yang tular, bahawa terdapat individu mendakwa dirinya dari LAKMNS serta menyediakan perkhidmatan mencuci batu nisan dan membuat napor yang kemudiannya akan menghilangkan diri selepas orang ramai membuat pembayaran bagi servis yang ditawarkan.

“Pihak itu tidak bertanggungjawab dengan membuat penipuan berhubung perkhidmatan membersih dan membaikpulih batu nisan di kawasan TPS kerana tidak pernah melantik secara rasmi mana-mana pihak termasuk kakitangan LAKMNS untuk menyediakan perkhidmatan seperti yang dinyatakan,” tegasnya.

LAKMNS turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam urusan melibatkan pembuatan napor dan nisan untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini.

“Disarankan untuk sentiasa merujuk kepada pihak Bahagian Tanah Perkuburan, LAKMNS berkenaan sebarang urusan di TPS,” tegasnya.

Suara Sarawak