Padah curi mesin pancutan air jiran

KUCHING: Padah mencuri mesin pancutan air milik jiran, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Muhammad Fauzi Jaafar, 27, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Mengikut pertuduhan, dia mencuri mesin pancutan air milik Hassim Samat, 57, di sebuah rumah di Kampung Tanjung, Jalan Merdeka, di sini, kira-kira jam 11.45 pagi, 16 April lalu.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu yang berada di rumah ternampak seorang lelaki yang dikenali telah mencuri mesin pancutan air yang diletakkan di belakang rumahnya.

Pengadu cuba mengejar suspek namun berjaya melarikan diri bersama mesin tersebut.

Anggaran kerugian dialami sebanyak RM500.

Pengadu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut, yang seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh dua hari selepas kejadian.

Hasil siasatan, tertuduh yang merupakan jiran pengadu mengaku telah mencuri mesin tersebut.

Selain itu, tertuduh juga mengaku telah menjual mesin berkenaan kepada orang lain.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak