KUCHING: Seorang lelaki berusia 24 tahun dijatuhi hukuman denda RM2,000 atas pertuduhan melupuskan harta curi sebuah telefon pintar jenama.

Tertuduh Gilbert , mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali di Mahkamah Majistret, di sini hari ini,

Tertuduh juga ditetapkan penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi di sebuah kedai di Bandar Baru Semariang, Jalan Sultan Tengah, kira-kira jam 12.30 petang, 27 Mac lalu.

Menurut fakta kes, pada 13 Mac lalu, sekitar jam 3.30 pagi, pengadu yang sedang bekerja bersama seorang rakannya di sebuah kedai serbaneka telah dirompak oleh tiga orang lelaki yang tidak dikenali bersenjatakan tukul dan batang besi.

Pada 1 April lalu, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sarawak telah membuat serbuan di sebuah rumah di Kampung Rampangi lalu menahan seorang lelaki (tertuduh).

Selain itu, pihak polis turut menangkap seorang lagi lelaki tempatan berusia 50 tahun bernama Idris kerana dipercayai sebagai suspek kes terbabit, dan telefon pintar jenama Xiomi yang ada padanya turut dirampas.

Hasil siasatan, mendapati tertuduh telah membantu melupuskan telefon itu dengan menjual kepada lelaki bernama Idris di sebuah kedai dengan harga RM150.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam

 

Suara Sarawak