KUCHING: Seorang lelaki berusia 24 tahun dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana mencuri wang tunai berjumlah RM12,000 milik seorang lelaki warga emas Orang Kurang Upaya (OKU).

Tertuduh Ikhmal, 24, mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan, dia mencuri wang tunai tersebut di dalam beg milik Sakek Ghani, 60, di sebuah kedai runcit mini di Batu Kawa, di sini, kira-kira jam 3.00 pagi, 24 September 2021.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu hendak keluar untuk kencing dan meletakkan beg sandang miliknya di atas kerusi kedai tersebut yang kemudiannya diambil oleh dua orang lelaki yang tidak dikenali.

Kedua-dua lelaki berkenaan kemudian melarikan diri menggunakan sebuah kereta. Barang-barang pengadu yang hilang ialah dokumen penting dan sejumlah wang tunai tersebut yang merupakan wang pencen yang baharu dikeluarkan untuk kegunaan anak perempuannya menyambung pengajian di sebuah universiti.

Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin memohon agar mahkamah mengenakan hukuman berat terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak