KUCHING: Seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan mengintai seorang wanita menyalin pakaian melalui tingkap bilik tidur mangsa.

Tertuduh Ahmad Zaidi Abdul Ajid, 26, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.

Zubaidah menetapkan hukuman penjara selama sebulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia mengganggu privasi seorang wanita berusia 26 tahun dengan mengintai mangsa yang sedang menyalin pakaian melalui tingkap bilik tidur mangsa.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di rumah mangsa di Kampung Sungai Midin, Jalan Bangau di sini, kira-kira jam 9.18 malam, 18 November 2020.

Pendakwaan kes mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, semasa kejadian, pengadu hendak memakai pakaian selepas mandi di bilik tidurnya dan ternampak bayang-bayang tangan seseorang di luar tingkap bilik.

Apabila membuka sedikit langsir tingkap, dia melihat seorang lelaki yang dikenali sedang mengintai di luar tingkap bilik pengadu.

Perbuatan itu turut disaksikan oleh kakak pengadu dan laporan polis terus dibuat untuk tindakan dan siasatan.

Hasil siasatan mendapati, tertuduh merupakan jiran mangsa dan rumahnya terletak di hadapan rumah mangsa.

Sebelum ini, berdasarkan laporan polis dalam tahun 2018, tertuduh juga pernah mengintai pengadu di bilik mandi.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak