KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM6,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana memukul abang iparnya menggunakan ekzos motosikal dan memecahkan cermin kereta milik mangsa.

Tertuduh Lai Teck Man, 33, mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan dua Majistret iaitu Syarifah Fatimah Azura Wan Ali dan Zubaidah Sharkawi.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan kepada Liew Jan Kim,43, dengan memukul menggunakan ekzos motosikal di sebuah kedai menjual barangan alat ganti motosikal , Batu 17, Jalan Kuching-Serian, kira-kira jam 11.45 pagi, 1 Disember 2021.

Bagi kesalahan itu, dia didenda RM3,800 atau lima bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.

Untuk pertuduhan kedua, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja merosakkan cermin kereta bahagian hadapan dan bonet kereta milik syarikat alat ganti motosikal hingga menyebabkan kerugian RM3,000.

Untuk itu, dia dijatuhkan hukuman denda RM3,000 atau tiga bulan penjara sekiranya gagal membayar denda.

Difahamkan, krisis antara tertuduh dengan pengadu disebabkan urusan perniagaan.

Pendakwaan kes bagi kedua-dua pertuduhan dikendalikan dua orang Pegawai Pendakwa iaitu Inspektor Mohd Adzmei Ahmad dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Suara Sarawak