KUCHING: Jurulatih skuad renang Para Sukma Sarawak, Sarbini Kaderi memberitahu, persiapan atlet sedia ada telah berjalan dengan lancar.

Bagaimanapun, latihan penuh untuk perenang yang terlibat dengan Sukan Para Sukma Kuala Lumpur 2022 akan bermula selepas Aidilfitri nanti.

“Latihan berjalan seperti biasa ketika ini, cuma pelaksanaan untuk latihan penuh hanya akan bermula selepas Aidilfitri nanti,” ujar beliau kepada Arena Suara Sarawak.

Tegas Sarbini, penampilan skuad renang Para Sukma Sarawak pada kejohanan itu kelak dilihat berbeza dengan kemunculan beberapa perenang baharu.

“Memandangkan berlaku format baharu dari segi perubahan umur di kejohanan itu, kita turut menyaksikan menampilkan perenang baharu,” tambah Sarbini lagi.

Apa pun, beliau akui muka baharu yang berada dalam skuad kali ini cukup berpotensi dan dijangka mampu mencipta kejutan dalam acara masing-masing.

Dengan kata lain katanya, ia mampu menjadi penyumbang pingat buat kontinjen Para Sukma Sarawak.

Baru-baru ini Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Semawi Mohamad memberitahu, temasya Sukan Para Sukma 2022 akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula dari 28 Oktober hingga 6 November.

Untuk rekod kontinjen Para Sukma Sarawak merupakan juara bertahan sebanyak 13 kali sejak tahun 1994, 1996, 1998, 2000, 2002, 2004, 2006, 2008, 2010, 2012, 2014, 2016 2018.

 

MUKA BAHARU…Mully Adriano ak Tawan berasal dari Lawas.

 

Suara Sarawak