BAGAI ditelan mati emak, diluah mati bapa.”

Begitulah perumpamaan yang berlaku sekarang apabila negara kini berada dalam keadaan pemulihan ekonomi dan dalam masa yang sama ingin melandaikan keluk penularan Covid-19.

Malah kini, seminggu sudah berlalu sejak Malaysia membuka pintu sempadan negara.

Ia merupakan berita baik terutama untuk sektor pelancongan, sekali gus memulihkan semula ekonomi negara yang terjejas teruk akibat pandemik.

Namun, yang menjadi isu setelah pintu sempadan dibuka adalah pengilang dan pengimport pelitup muka bukan perubatan diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM pada kotak atau bungkusan yang mudah dilihat pengguna.

Tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang ingin mewartakan produk itu membuatkan ramai orang awam meluahkan rasa tidak puas hati mereka di media sosial.

Lebih membuat pengguna media sosial bengang, KPDNHEP menyatakan individu yang tidak mematuhi peraturan itu akan dikenakan denda tidak lebih RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Covid-19 telah melanda kita hampir tiga tahun manakala pada 1 April lalu, kita semua sudah masuk ke fasa peralihan ke endemik Covid-19.

Sudah pasti semua rakyat di negara ini faham dengan prosedur operasi standard (SOP) termasuk pemakaian pelitup muka.

Sebelum ini, rakyat juga dinasihati untuk menggunakan pelitup muka tiga lapis dan bagi rakyat perkara itu sudah memadai bagi mengelakkan jangkitan virus Covid 19.

Rata-rata rakyat yang ingin menjimatkan kos semasa pandemik ini hanya menggunakan pelitup muka yang diperbuat daripada fabrik yang boleh dibasuh dan dipakai semula dan ada juga daripada mereka membeli pelitup muka secara borong atau pukal kerana ia lebih murah.

Justeru, apabila dibuat perubahan arahan yang menyatakan bahawa pelitup muka perlu ada cap SIRIM, kemungkinan rakyat jadi terbeban, penat dan letih dengan situasi berkenaan.

Namun, kita tidak boleh terus menghentam kerajaan kerana jika difikirkan semula, tindakan kerajaan ini dengan mewartakan pelitup muka ini mungkin ada kebaikannya.

Keputusan kerajaan ini juga tidak bermakna kerajaan lebih mementingkan ekonomi daripada nyawa, tetapi mementingkan keselamatan manusia dengan mewartakan pelitup muka ini mungkin kaedah terbaik untuk menyelamatkan nyawa daripada Covid-19.

Misalnya tindakan kerajaan dengan mewartakan pelitup muka cap SIRIM ini mungkin bertujuan untuk memastikan pelitup muka bukan perubatan yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang ditetapkan.

Di Amerika Syarikat, produk tulen bagi pelitup muka akan mempunyai simbol NIOSH pada alat serta tarikh luput pada kotak mereka.

Malaysia bagaimanapun tidak menuruti langkah negara berkenaan.

Garis panduan

Garis panduan pemakaian pelitup muka yang diguna pakai sejak 23 Ogos tahun lepas tidak dikemas kini.

Hanya saranan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah agar orang ramai memakai pelitup muka berganda – pelitup muka perubatan dan pelitup muka fabrik berserta pelindung muka masih terpakai.

Justeru dengan adanya penandaan MS SIRIM pada pelitup muka bukan perubatan menunjukkan ia telah mematuhi standard, berkualiti dan selamat digunakan sekali gus menjaga kesejahteraan rakyat dan melindungi kepentingan pengguna.

Selain itu, isu lambakan pelitup muka bukan perubatan yang tidak berkualiti dalam pasaran negara juga menjadi sebab kerajaan ingin mewartakan keputusan tersebut.

Mungkin dengan cara ini, ia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport.

Oleh itu, rakyat perlu bijak menilai, sebaiknya pilih yang menawarkan perlindungan terbaik agar kita terhindar daripada dijangkiti virus maut Covid-19 walau dalam apa-apa juga persekitaran.

Namun apa pula kesan sebaliknya (negatif) pewartaan pelitup muka ini kepada rakyat?

Dalam keadaan negara yang masih terperangkap dalam pandemik Covid-19 sekarang, rakyat yang berpendapatan rendah mahupun sederhana banyak yang baharu sahaja hendak bangkit bekerja dan meneruskan kehidupan yang lebih baik.

Bukan itu sahaja, kita juga yakin kebanyakan rakyat telah membeli sejumlah pelitup muka dalam kotak yang lebih murah secara pukal.

Dengan mengenakan langkah terbaharu maka rakyat terpaksa membuang stok pelitup muka dan membeli yang baharu.

Justeru bagi sesetengah rakyat, tindakan kerajaan yang akan mendenda rakyat menggunakan pelitup muka tanpa pengesahan SIRIM berkenaan merupakan sesuatu yang tidak bertimbang rasa dalam keadaan ekonomi yang ‘teruk’ ketika ini.

Selain itu, di Malaysia khususnya di Sarawak, ramai pengusaha kraf melibatkan ibu tunggal dan golongan B40 menjahit pelitup muka kain bagi menampung kehidupan mereka yang terjejas.

Kesan kepada rakyat

Ia akan memberi kesan kepada golongan ini memandangkan semasa pandemik ini, ia merupakan sumber pendapatan mereka untuk meneruskan kehidupan seharian.

Justeru, jika arahan ini diwartakan nanti, kerajaan perlu menyediakan satu garis panduan bagi memastikan pelitup muka kain bercorak yang dihasilkan pengusaha kraf memenuhi spesifikasi SIRIM.

Di samping itu, tindakan sesetengah rakyat yang membantah tindakan kerajaan ini adalah kemungkinan rakyat ingin mencontohi negara jiran yang mula melonggarkan syarat pemakaian pelitup muka memandangkan negara kita mula menuju ke fasa endemik.

Sehubungan itu, mungkin tindakan kerajaan ini ada baik buruknya.

Penulis beranggapan kerajaan hanya melaksanakan tanggungjawab mereka bagi memastikan keselamatan dan kesihatan rakyat terjaga.

Apabila sudah diwartakan nanti, kerajaan perlu membuat pelbagai bantuan dan inisiatif misalnya memberi secara percuma pelitup muka yang ditanda SIRIM kepada rakyat.

Ataupun menetapkan harga siling bagi pelitup muka ini agar tiada peniaga yang menaikkan harga pelitup muka ini secara sembarangan.

Suara Sarawak