KUCHING: Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N.19 Mambong terus melebarkan sayapnya menerusi penubuhan baharu Ranting Kampung Semadang, dengan keahlian seramai 45 orang.

Diketuai oleh Ramos Jepos, penubuhan ranting itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong merangkap Ketua Cawangan PBB N.19 Mambong Datuk Dr Jerip Susil sempena mesyuarat pertamanya di D’Redian, Kampung Semadang malam tadi.

Justeru, Jerip yang juga Menteri Muda Pengangkutan berharap agar ranting berkenaan terus menambah keahlian khususnya dengan menarik golongan muda untuk bersama-sama berjuang membawa kemajuan di peringkat kampung khasnya dan DUN Mambong amnya.

“Perjuangan ini kena difahami oleh golongan muda, kalau dahulu kita tidak ada bekalan elektrik, air dan jalan raya termasuk sekolah tetapi sekarang semuanya sudah dinikmati.

“Jadi golongan muda kena faham bahawa disebabkan oleh perjuangan dahulu, mereka dapat menikmati segala kemudahan yang ada pada hari ini dan perjuangan ini harus diteruskan sampai bila-bila,” katanya yang ditemu-bual.

Hadir sama Penolong Ketua Cawangan PBB N.19 Mambong Datuk Deta Samen dan Penasihat Ranting Kampung Semadang Wilson Mapus.

Ranting Kampung Semadang, PBB N.19 Mambong diketuai oleh Ramos Jepos, Ketua Pemuda Tedik Teng dan Ketua Wanita Laurettalee Apuk.

Jerip (duduk baris depan, tengah) bersama Deta (duduk baris depan, dua kanan), Wilson (berdiri baris kedua, dua kiri), Ramos (berdiri baris kedua, empat kiri), tetamu kehormat lain serta ahli-ahli Ranting Kampung Semadang, PBB N.19 Mambong merakamkan gambar sempena mesyuarat pertamanya di D’Redian, Kampung Semadang malam tadi.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak