SAC Wong Ing Fung ketika ditemui media sempena pelancaran kempen jelajah Op Selamat 18 dan GTSP di stesen minyak Petronas Matang Jaya.

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Petronas melancarkan kempen jelajah advokasi sempena Op Selamat 18 dan Program Go-To-Safety-Point (GTSP), hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bersama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) dan Petronas merupakan program advokasi pra Op Selamat.

Menurut Ketua JPJKK Sarawak Senior Asisten Komisioner Wong Ing Fung, program advokasi Op Selamat adalah kaedah efektif oleh JSPT dalam melindungi dan mengekalkan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat sepanjang operasi.

“Ia bertujuan untuk memaklumkan kepada orang ramai bahawa Pdrm akan mengadakan Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri bermula 29 April hingga 8 Mei.

Dari dua kiri: Bingkok, Ing Fung dan Abby melakukan flag off bagi konvoi PDRM dan kakitangan Petronas untuk kempen jelajah advokasi di stesen minyak terpilih iaitu di Kuching, Padawan dan Kota Samarahan.

“Malah, pihak polis melalui JSPT juga akan bekerjasama dengan Petronas berkolaborasi ke arah meningkat kesedaran di kalangan penunggang motosikal serta meningkatkan lagi kesedaran masyarakat agar mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sempena Flag Off Program Road Tour PDRM dan Petronas di stesen minyak Petronas, Matang Jaya di sini, hari ini.

Berhubung program advokasi katanya, ia merupakan perancangan jangka masa panjang oleh JSPT untuk memberikan nasihat kepada pengguna jalan raya khususnya kepada penunggang P-hailing.

SAC Wong Ing Fung menyampaikan beg dan risalah kepada seorang pemandu van.

Ujarnya ia bertujuan supaya pengguna mematuhi peraturan jalan raya dan menerapkan sikap sentiasa mengutamakan keselamatan agar selamat tiba ke destinasi.

“Penunggang motosikal merupakan mereka yang berisiko tinggi akan terlibat dalam kemalangan jalan raya dan merekodkan jumlah kematian tertinggi setiap tahun,” ujarnya.

Sementara mengenai GTSP, Ing Fung berkata, ia merupakan inisiatif melalui program kerjasama strategik antara PDRM dan stesen minyak Petronas yang bertujuan untuk menyediakan tempat bagi orang ramai mendapatkan bantuan dalam sebarang kejadian sama ada kecemasan, kemalangan atau jenayah.

 

Suara Sarawak