MUKAH: Seorang pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) mengalami kerugian berjumlah RM2,222 selepas ditipu penawaran kerja sambilan menerusi media sosial Facebook di sini, Sabtu lalu.

Mangsa berusia 18 tahun itu tertarik dengan iklan halaman e-dagang di sebuah laman sosial Facebook berkaitan tawaran kerja sambilan sebagai kerani pemproses dalam talian, dengan pulangan komisyen yang lumayan iaitu sebanyak 15 peratus daripada setiap barangan yang dibeli melalui Zalora.

Menurut Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Polis Muhamad Rizal Alias, mangsa telah berhubung dengan seorang individu melalui aplikasi whatsapp nombor telefon yang diberikan untuk tujuan pendaftaran dan arahan kerja selanjutnya.

Kemudian katanya, mangsa telah diarahkan untuk membuat penambahan item pembelian melalui aplikasi Zalora dan cuma perlu menghantar gambar pembelian kepada nombor telefon yang diberikan.

“Bagi mendapatkan komisyen 15 peratus daripada setiap item yang dibeli, mangsa diarahkan untuk membuat pembayaran pendahuluan dan dijanjikan pulangan komisyen 15 peratus beserta modal yang dikeluarkan.

“Mangsa yang terpedaya berharap akan mendapat pulangan, membuat transaksi pemindahan wang berjumlah RM 2,222 ke dalam dua akaun bank yang diberikan suspek atas nama individu tidak dikenali pada 15 April lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rizal berkata mangsa mula menyedari telah ditipu ekoran sering diminta untuk membuat pembayaran lain dan tidak menerima komisyen seperti yang dijanjikan.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran peluang pekerjaan bagi menambah pendapatan sampingan yang diiklankan melalui mana-mana media, khususnya melalui media sosial seperti facebook, instagram, telegram dan sebagainya.

Orang ramai juga dinasihatkan jangan sesekali memberikan maklumat perbankan seperti nombor akaun, nombor kad atm, nombor pin, ID dan kata laluan perbankan dalam talian kepada mana-mana individu yang tidak dikenali.

“Maklumat perbankan tidak seharusnya didedahkan kepada sesiapa pun. Orang ramai boleh membuat semakan nombor telefon dan akaun bank suspek
melalui check scammers ccid atau melalui laman web http://semakmule.rmp.gov.my sebelum membuat sebarang transaksi kewangan.

“Layari facebook jabatan siasatan jenayah komersil, Amaran Jenayah Siber Polis DiRaja Malaysia (CARP) dan jabatan siasatan jenayah komersil sarawak untuk mendapatkan maklumat modus operandi terkini penipuan,” katanya.

Suara Sarawak