KUCHING: Persatuan Alumni Universiti Sains Malaysia (USM) Sarawak merancang untuk mengaktifkan kembali peranan persatuan ini bagi memberi bantuan kepada pelajar Sarawak yang kini menuntut di USM Pulau Pinang.

Penaungnya Razi Sitam berkata, dengan kerjasama barisan Exco Persatuan Alumni USM Sarawak yang baharu dan Persatuan Alumni USM Induk, ia diharap akan dapat direalisasikan secara efektif dan berkesan.

Beliau berkata, masih ramai graduan daripada USM terutamanya anak-anak Sarawak yang belum mempunyai data khusus.

“Justeru, kita (Persatuan Alumni USM Sarawak) merancang untuk mengumpul data-data ini sejak USM ditubuhkan.

“Pada masa sama kita juga mempunyai perancangan dengan pihak USM untuk bekerjasama bagi memberi kemudahaan dan manfaat kepada anak-anak Sarawak yang sedang belajar di USM,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar Bersama Persatuan Alumni USM Sarawak di Dewan Sri Rampai Kuching, semalam.

Jelas Razi yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak lagi, Persatuan Alumni USM Sarawak turut bekerjasama dengan USM bagi memastikan kebajikan dan kemudahan anak-anak Sarawak sentiasa dipelihara dan diambil tindakan sewajarnya.

Terdahulu, Persatuan Alumni USM Sarawak telah mengadakan program Ihya Ramadan 2022 dengan menyampaikan sumbangan kepada 15 golongan asnaf di sekitar Kuching dan mengagihkan 300 bungkus buah kurma kepada komuniti di sekitar Masjid India, Kuching.

Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni USM Sarawak Hafisz Rachman Drahman memberitahu pihaknya mempunyai empat matlamat penubuhannya antaranya kebajikan, pendidikan, sukan dan sosial ekonomi.

“Untuk tahun ini dan akan datang kita akan sentiasa melaksanakan program yang boleh memberi manfaat kepada sosial komuniti di Sarawak.

“Ilham untuk mencapai matlamat ini ialah untuk mengumpul seramai yang boleh ahli-ahli alumni yang pernah belajar di USM dahulu,” katanya.

Tambah beliau, Persatuan Alumni USM Sarawak turut membantu pelajarSarawak yang sedang dalam pengajian di USM dengan menjadi orang tengah kepada pihak berkepentingan bagi mendapatkan bantuan kewangan dan kebajikan.

Ujarnya lagi, pihaknya juga telah mengadakan sesi Meet and Greet secara dalam talian bersama Persatuan Alumni USM Induk dan Perkumpulan Anak-Anak Sarawak (PERKASA) iaitu pelajar-pelajar Sarawak yang sedang belajar di USM bagi menggalakkan mereka menyertai Persatuan Alumni USM Sarawak.

Malah, pihaknya turut mendapat kerjasama baik daripada USM sendiri dalam mendapatkan nama-nama bekas pelajar USM Sarawak daripada kumpulan pertama hingga sekarang.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Persatuan Alumni USM Sarawak Mohd Iqbal Ismail dan ahli-ahli Jawatankuasa Persatuan Alumni USM Sarawak.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak