Kapsyen: KUCHING: Jumlah pengunjung dari luar negara dijangka meningkat tahun ini susulan pembukaan semula sempadan negara, hari ini.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ramai duta dari luar negara yang berada di Kuala Lumpur melawat Kuching.

“Mereka terpegun melihat keadaan di Sarawak dan saya percaya melalui lawatan tersebut, warga luar negara akan tertarik untuk datang ke sini.

“Walaupun mereka tidak datang dalam masa terdekat, tetapi jika program seperti Festival Muzik Dunia Rainforest (RWMF), Festival Jazz Borneo (BJF) dan lain-lain diadakan, pasti mereka akan datang ke Sarawak,” katanya sambil memberitahu bahawa semua perancangan sudah diatur untuk tahun 2022.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sambutan Ulang Tahun Hari RTM ke-76 2022 di Auditorium P. Ramlee RTM, di sini, hari ini.

Justeru dengan pembukaan sempadan ini, Karim berharap ia dapat memberi sinar kepada mereka yang terlibat dalam industri pelancongan termasuk penginapan, makanan dan sebagainya.

“Kita tidak mengharapkan pelancong yang hadir untuk tinggal di hotel, berbelanja tinggi atau makan di restoran mewah sahaja. Itu adalah hak individu untuk membuat keputusan.

“Rakyat yang mempunyai status rendah juga berhak untuk melancong. Setiap lapisan masyarakat dialu-alukan datang ke negara ini asalkan mereka menghormati budaya dan menjaga harta benda kita,” katanya.

Suara Sarawak