KUCHING: Padah melanggar kereta milik wanita berusia 30 tahun hingga menyebabkan kerosakan, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Chuan Yuan, 43, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali.

Syarifah Fatimah menetapkan tertuduh dikenakan hukuman penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan khianat merosakkan kereta jenis Mitsubishi Mirage milik seorang wanita berusia 30 tahun di hadapan Balai Polis Kota Sentosa, Jalan Lapangan Terbang, di sini, kira-kira jam 12.45 pagi, 4 Julai 2020.

Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, jika sabit bersalah, boleh dihukum penjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi daripada lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Difahamkan, semasa kejadian, pengadu dan isterinya dalam perjalanan dari Bukit Berangan menuju ke Jalan Stakan telah diekori oleh seorang lelaki yang tidak dikenali menggunakan kereta jenis pacuan empat roda jenama Isuzu.

Sepanjang perjalanan, lelaki berkenaaan telah memotong dan membrek kereta secara mengejut serta memandu dalam keadaan berbahaya.

Pengadu dan isterinya yang dalam keadaan takut terus memandu kereta mereka menuju ke balai polis berdekatan.

Semasa tiba di tempat letak kereta Balai Polis Kota Sentosa, tertuduh lalu melanggar belakang kereta milik isteri pengadu sebanyak tiga kali.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh diwakili seorang Peguam Timothy Finlayson Joel.

Setakat ini, tertuduh telah membayar hukuman denda yang dikenakan terhadapnya.

 

Suara Sarawak