KUCHING: Permohonan bagi Skim Pembesaran Kampung Gedong Baru, Gedong yang dibangunkan oleh Jabatan Tanah dan Survei Sarawak (JTS) akan dibuka mulai esok, 23 April.

JTS dalam kenyataannya hari ini berkata, pemohon yang layak boleh membuat permohonan dengan melayari laman sesawang https://jts.sarawak.gov.my/ares/.

“Setiap permohonan akan diproses oleh JTS Bahagian Samarahan.

“Sebarang pertanyaan mengenai permohonan SPK Gedong Baru, Gedong boleh menghubungi JTS Bahagian Samarahan di talian 082-671213 atau email landsurvey@sarawak.gov.my,” katanya.

Mengulas lanjut, Kerajaan Sarawak menerusi JTS turut melaksanakan projek Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK) yang menyediakan lot-lot kediaman yang lebih selesa, terancang dan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas seperti rangkaian jalan, sistem perparitan, bekalan air serta bekalan elektrik.

Selain itu, Kerajaan Sarawak juga memperkenalkan dasar baharu iaitu penambahbaikan terhadap spesifikasi dan komponen intrastruktur asas di skim-skim baharu SPS dan SPK yang akan dilaksanakan.

“Projek SPS dan SPK ini lebih tersusun dengan menggunakan pendekatan baharu seperti penambahbaikan infrastruktur asas seperti jaringan jalan raya yang dahulunya hanya jalan batu kini dinaik taraf kepada jalan berturap.

“Turut ditambahbaik ialah lot-lot yang dahulunya diagihkan tanpa ditimbus atau tembok akan ditimbus atau tembok dan sistem perparitan di dalam skim yang dahulunya hanya parit tanah telah ditambah baik dengan parit konkrit,” jelasnya.

Tambahanya, semua kos tembok, jalan bertar, parit konkrit ini akan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak lebih kurang RM 100,000 hingga RM 120,000 per lot.

Katanya, satu lagi inisiatif baharu Kerajaan dalam SPS dan SPK adalah mengurangkan kadar premium sebanyak 50 peratus bagi lot kediaman di semua SPS dan SPK adalah tidak melebih RM2,500 se lot.

Jelasnya, inisiatif ini dilaksanakan bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah yang terlibat dalam skim-skim berkenaan untuk menyelesaikan pembayaran premium.

Suara Sarawak