KUCHING: Padah terlibat dalam penyalahgunaan dadah berulang, seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Tertuduh Shukri Johan, 27, mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Afidah menetapkan tertuduh dalam pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan pihak polis selama tiga tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Mengikut pertuduhan, dia didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan, kira-kira jam 2.05 pagi, 30 Disember 2021.

Selain itu, tertuduh mempunyai dua rekod lampau melibatkan penyalahgunaan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 pada 18 dan 24 September 2020.

Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39C(1) Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum minimum lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun dan sebat tidak melebihi tiga sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara enam bulan di Mahkamah Majistret atas pertuduhan di bawah Seksyen Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Mengikut pertuduhan, dia didapati positif Amphetamine dan Methamphetamine di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Padawan, sekitar jam 3.30 petang, 26 Ogos 2020.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan tertuduh di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara.

Dalam Majistret berasingan, dia turut didakwa di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A(1) Akta yang sama, kerana memiliki dadah jenis Methamphetamine seberat 6.5 gram.

Dia didakwa memiliki bahan terlarang itu di sebuah kedai kopi di Kota Sentosa, di sini, kira-kira jam 11 pagi, 13 April lalu.

Majistret Zubaidah Sharkawi menetapkan tarikh sebutan semula kes bagi laporan kimia pada 14 Jun depan.

Pendakwaan bagi kedua-dua pertuduhan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.

Dadah berulang: Tertuduh dibawa keluar oleh anggota polis untuk dibawa ke lokap mahkamah sebelum dihantar ke penjara.

Suara Sarawak