Abang Johari sebaik tiba di Masjid An-Nur bagi menghadiri Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak di Sibu.

KUCHING: Usaha Kerajaan Sarawak membangunkan dan menghasilkan sumber tenaga yang menekankan kelestarian alam sekitar sebagai ekonomi baharu telah mendapat pengiktirafan global.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, antaranya beliau telah dijemput oleh negara Singapura dan Belanda untuk berkongsi pengalaman dalam meneroka bidang tersebut.

“Sekarang negara lain sudah mengenali usaha Sarawak dan menjemput saya untuk berkongsi serba sedikit pengalaman yang ada disamping meneroka peluang perkongsian.

“Minggu hadapan saya akan berucap di Singapura dan pada awal bulan Mei di Rotterdam, Belanda mengenai dasar ekonomi baharu yang menjadi matlamat negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung di Masjid An-Nur Sibu, Jalan Awang Ramli Amit di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, katanya sebagai ketua kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah diberi mandat besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu, beliau telah membawa rakyat mengorak langkah yang agak berani ke arah ekonomi bentuk baharu yang berteraskan teknologi.

Hadir sama, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib; Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Dr Annuar Rapaee; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Yang di-Pertua Majlis Islam Sarawak Datu Misnu Taha.

Suara Sarawak