KUCHING: Gara-gara memecahkan cermin hadapan dan belakang kereta hingga menyebabkan kerugian RM700, seorang penganggur dijatuhi hukuman denda RM3,400 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali turut menetapkan tertuduh Rudy Mohamad, 41, yang mengaku bersalah atas kesalahan itu untuk dipenjarakan enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan rumah mangsa berusia 23 tahun di Kampung Tabuan Hilir, kira-kira jam 7.30 malam, pada 29 Mac lepas.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut mempunyai empat rekod jenayah lampau yang melibatkan aktiviti penyalahgunaan dadah.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak