KUCHING: Seorang penganggur lelaki dijatuhi hukuman denda RM2,700 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana melakukan ugutan jenayah bunuh terhadap isterinya yang enggan memberikan wang untuk membeli dadah.

Tertuduh Tan Kok Peng, 42, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Syarifah fatimah Azura Wan Ali.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa sengaja melakukan ugutan bunuh terhadap isterinya yang merupakan warga asing di kediaman mereka di Jalan Elli 7A, di sini, kira-kira jam 2.15 petang, 1 April lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, tertuduh dan mangsa telah berkahwin selama 12 tahun dan mempunyai dua orang anak menggugut hendak membunuh mangsa kerana permintaannya tidak dituruti.

Difahamkan, tertuduh mempunyai empat rekod jenayah lampau yang melibatkan kes ugutan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon agar mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.

Suara Sarawak