DITAHAN … Suspek ditahan bersama 1130 biji Pil Psikotropik dipercayai dadah di belakang Terminal Bas Jalan Setiaraja, Mukah pada petang Jumaat.

MUKAH: Seorang penganggur berusia 32 tahun ditahan oleh pihak polis di belakang Terminal Bas Jalan Setiaraja, Mukah hari ini kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek merupakan seorang lelaki tempatan yang ditahan dalam Ops Tapis yang dijalankan sekitar jam 1.40 tengah hari.

Hasil pemeriksaan ke atas suspek katanya, pihak polis telah merampas satu bungkusan plastik berwarna putih bertulisan “Pos Laju”.

“Didapati ia mengandungi satu botol plastik putih yang mengandungi pil Psikotropik berjumlah 1,130 biji dengan nilai anggaran RM2,260,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, pihak polis telah merampas barang tersebut untuk dijadikan barang kes dan suspek ditahan serta dibawa ke lokap IPD Mukah.

Keputusan ujian air kencing ke atas suspek turut mendapati suspek negatif dadah.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek memiliki tiga kes lampau melibatkan dua kes di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun dan satu kes di bawah Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Suspek turut dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah sejak awal Januari tahun 2021 sehingga sekarang,” ujarnya lagi.

Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 pesalah boleh dihukum mengikut Seksyen 30(5) akta yang sama memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM 10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali.

Suara Sarawak