KUCHING: Penganut Kristian kini boleh meraikan Minggu Suci (Holy Week) di gereja setelah negara ini memasuki fasa peralihan endemik pada 1 April lalu.

Uskup Agung Katolik Simon Poh berkata, ia susulan Unit Agama Lain (Unifor) telah mengiktiraf pematuhan tinggi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi gereja dan rumah ibadat sepanjang tempoh pandemik.

Dengan peralihan fasa endemik katanya, semua gereja komited untuk mematuhi SOP yang dikeluarkan setakat 1 April lalu.

“Justeru, kita perlu lebih berhati-hati semasa misa, Good Friday serta Paskah dan bersedia untuk kapasiti maksimum seperti yang dibenarkan oleh Unifor,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Uskup Agung Poh juga berkata beliau yakin setiap orang yang datang ke gereja sedar tentang keperluan memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak fizikal.

Justeru, beliau menggesa pihak gereja untuk memperkukuh amalan keselamatan dengan mengekalkan penjarakan fizikal semasa kapasiti penuh.

“Di sesetengah bangunan gereja dengan koridor besar, ruang legar atau beranda, kerusi tambahan boleh disediakan dengan jarak fizikal untuk menempatkan lebih ramai pengunjung gereja.

“Ini pasti akan membantu meningkatkan kapasiti untuk Minggu Suci di samping memastikan keselamatan semua orang dijaga.

“Kami percaya bahawa jemaah kami akan mengekalkan keselamatan ini sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial Kristian untuk kebaikan bersama masyarakat.

“Oleh itu, untuk memastikan gereja adalah persekitaran yang selamat untuk beribadat pada Jumaat Agung, Paskah dan setiap Ahad, semua gereja kami akan mengekalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka, penggunaan cecair pembasmi kuman, imbasan MySejahtera sebagai SOP keselamatan kami semasa beribadat di gereja,” jelasnya.

Beliau juga memberi jaminan bahawa gereja akan terus menyediakan siaran langsung untuk misa bagi menampung sekumpulan orang yang tidak dapat datang ke gereja untuk beribadat dan meminta jemaah untuk menyemak dengan gereja masing-masing untuk jadual perkhidmatan siaran langsung dan misa.

“Saya menerima ucapan terima kasih daripada mereka yang terlantar sakit atau dalam rawatan seperti kemoterapi, dialisis atau pulih daripada strok kerana mereka tidak dapat mengikuti misa atau perkhidmatan Ahad.

“Saya tidak melupakan orang-orang ini yang masih ingin berdoa dan beribadat, terutamanya semasa Good Friday dan Paskah ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati jemaah gereja supaya mematuhi SOP pendaftaran dan kemasukan ke gereja masing-masing dan mengelak daripada pergi ke gereja jika didapati menunjukkan simptom seperti batuk, demam atau selesema.

Suara Sarawak