Nanta Linggi (Kiri) menyerahkan Hadiah Latihan Kecekapan Pengendalian Senjata Api dan Peluru KPDNHEP Sarawak kepada penerima.

KUCHING: Para pengguna dan peniaga diseru untuk mendapatkan pendedahan yang berterusan berkaitan aspek kebaikan dan tipu-muslihat seiring dengan teknologi digital masa kini.

Demikian tegas Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi pada Majlis Makan Malam Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak, Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Kepenggunaan dan Rakan Strategik di sini, malam tadi.

Menurutnya, tema Hari Pengguna Kebangsaan iaitu “Digitalisasi Pengguna”, sejajar dengan tema Hari Hak-Hak Pengguna Sedunia 2022 iaitu ‘fair digital finance’.

Beliau berkata tema ini dipilih khusus kerana pengguna hari ini terdedah dengan aktiviti dalam talian terutamanya pembelian yang melibatkan transaksi kewangan.

“Hal ini kerana aktiviti ini mendedahkan pengguna kepada ‘scammer’ dan peniaga tidak beretika iaitu penipuan dalam talian yang telah merugikan pengguna Malaysia berjuta ringgit sejak akhir-akhir ini.

“Justeru, di sinilah pentingnya fungsi Kementerian untuk sentiasa memberikan advokasi berterusan kepada pengguna,” katanya.

Nanta yang juga Ahli Parlimen Kapit menjelaskan, pada masa ini perbankan atas talian, Paywave, QR Pay dan e-wallet bukan lagi sesuatu yang asing di kalangan masyarakat kerana digitalisasi pengguna merupakan ‘way forward’.

Malah ujarnya, hampir keseluruhan peniaga pasar di Kapit sudah beralih kepada ‘cashless system’.

Justeru beliau berharap internet dan teknologi komunikasi yang menjadi ‘enabler’ untuk mempercepatkan adaptasi teknologi digital dapat dipercepatkan, diperluaskan dan ditambah kapasitinya hingga menjangkau ke kawasan pendalaman seperti Sabah, Sarawak dan negara lain.

Dedahnya, KPDNHEP telah menerima sebanyak 36.45 peratus atau 24,150 aduan yang berkaitan dengan transaksi dalam talian.

“Ini memberi indikasi bahawa sebilangan besar pengguna menyedari dan memahami hak mereka dengan menyalurkan aduan apabila berlakunya sebarang salah laku oleh peniaga.

“Namun begitu, kita tidak boleh berpuas hati dan advokasi perlu diteruskan melalui pelbagai platform untuk membantu masyarakat menjadi pengguna yang berdaya upaya, berani bertindak, membuat aduan dan membuat tuntutan tebus rugi,” tambahnya.

Suara Sarawak