KUCHING: Seorang peniaga lelaki dijatuhi hukuman denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana menjual bunga api dan mercun tanpa permit.

Tertuduh Sidi,49, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Zaiton Anuar.

Zaiton menetapkan hukuman penjara dua bulan terhadap tertuduh sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki 450 kotak mercun bunga api pelbagai jenis, 127 stik mercun bunga api, dua paket mercun roket dan tiga unit mercun bom.

Dia didakwa memiliki bahan tersebut di sebuah kafe di Jalan Satok, kira-kira jam 2.10 petang, 20 April lalu.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Menurut fakta kes, pengadu yang merupakan anggota polis bersama pasukannya dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching telah membuat satu serbuan terhadap seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan mercun dan bunga api tanpa permit.

Hasil pemeriksaan, mendapati suspek gagal menunjukkan sebarang permit memiliki dan menjual bunga api secara sah.

Barang-barang kes seperti beberapa kotak mercun bunga api pelbagai jenis turut dirampas untuk tindakan lanjut.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh ASP Rogayah Rosli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Suara Sarawak