KUCHING: Seorang pemilik kedai runcit dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menetapkan hukuman penjara dua minggu terhadap Kenneth Ho Kian How, 39, sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Perniagaan, Profession dan Perlesenan Perdagangan 1958 kerana menjalankan perniagaan di Sarawak tanpa lesen.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kedai runcit Fook Shun Mini Market di Jalan Setia Raja, sekitar jam 4.05 petang, 28 Januari 2021.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan sehingga denda RM1,000.

Menurut fakta kes, sepasukan Polis Marin Wilayah 5, Kuching telah membuat serbuan dan pemeriksaan ke atas sebuah kedai runcit beralamat, Jalan Setia Raja, sekitar jam 6.05 pagi, 13 Ogos 2020 lalu.

Hasil serbuan, seorang lelaki telah ditahan untuk membantu siasatan.

Tertuduh mengaku permohonan telah dibuat pada 11 Februari 2021. Namun, pihak berkuasa tempatan Majlis Bandaraya Kuching Selatan mengesahkan tiada lesen atau permit perniagaan telah dikeluarkan atas nama premis tersebut.

Oleh itu, tertuduh didapati telah menjalankan perniagaan tanpa lesen daripada pihak berkuasa.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Azmei Ahmad manakala tertuduh diwakili Peguam Francis Wee.

Suara Sarawak