Penipu guna taktik baharu

WANG simpanan yang dikumpul selama bertahun-tahun akhirnya lesap dalam sekelip mata disebabkan satu panggilan telefon sahaja.

Kedengaran agak pelik tetapi inilah realitinya terjadi kepada mangsa penipuan urus niaga berunsur penipuan atau dikenali dengan istilah scammer.

Mangsa yang diperdaya bukan hanya wanita, golongan tua malah ada juga golongan profesional turut menjadi mangsa termasuk pegawai bank, doktor dan guru.

Untuk tahun ini sahaja, pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) merekodkan 557 kes penipuan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini manakala 1,585 kes sepanjang tahun lalu.

Pada 2021 sahaja, lebih RM32 juta kerugian ditanggung mangsa yang tertipu dengan modus operandi seperti Macau Scam, Love Scam, penipuan bungkusan, rakan WhatsApp, cukai LHDN, skim pinjaman serta pelaburan palsu.

Mangsa bukan sahaja hilang wang simpanan akibat ditipu malah ada yang kini terpaksa menghadapi beban hutang besar kerana mereka meminjam wang untuk diberikan kepada sindiket penipuan itu.

Baru-baru ini pihak JSJK mendedahkan sindiket tersebut menggunakan taktik baharu iaitu memperdaya dengan menghubungi mangsa dan memperkenalkan diri kononnya sebagai Pegawai Kementerian Kesihatan (KKM).

Difahamkan, mangsa diberitahu bahawa butiran peribadinya digunakan oleh individu lain untuk pendaftaran penerimaan vaksin dan diarah bekerjasama dengan KKM untuk menyiasat perkara itu.

Selepas itu mangsa dihubungkan dengan panggilan telefon daripada pihak ‘polis’ untuk pengesahan lanjut, kononnya butiran diri mangsa turut terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan jika gagal bekerjasama akan dikenakan tindakan undang-undang.

Begitu licik sekali permainan sindiket ini yang berjaya memperdaya mangsa walaupun sudah banyak laporan penipuan yang terpampang di dada akhbar.

Setakat ini, sindiket penyamaran KKM ini sudah memperdaya dua mangsa di Melaka dengan membabitkan kerugian berjumlah RM259,642.

Pada 8 April lalu, seorang pelajar di institusi pengajian tinggi berusia 21 tahun dan suri rumah berusia 60 tahun ditipu membabitkan modus operandi sama.

Menurut laporan media nasional, pelajar itu membuat laporan polis dan mendakwa kerugian RM12,000 sementara suri rumah menyatakan duit simpanannya RM247,642 lesap begitu sahaja.

Kesimpulannya, penipuan ini mampu berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira status individu.

Ingat, jangan sesekali panik apabila mendapat panggilan telefon daripada individu yang mendakwa dirinya pegawai rasmi sebuah institusi, inspektor polis dan sebagainya.

Dalam keadaan ketakutan, penipu ini akan mengambil kesempatan sepenuhnya, sekali gus memusnahkan hidup kita.

Diharap mereka yang menerima bayaran pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dikreditkan lebih awal iaitu kelmarin, berbanding jadual asal pada 20
April supaya sentiasa berhatihati kerana anda mungkin menjadi sasaran scammer ini.

Sindiket ini akan terus menggunakan pelbagai taktik untuk memerangkap golongan sasaran bagi mendapatkan keuntungan.

Sekiranya anda mendapat panggilan daripada seseorang yang kononnya dirinya sebagai ejen KWSP, sila letak terus telefon.

Pihak KWSP tidak pernah melantik mana-mana ejen untuk menguruskan simpanan dan jangan sesekali melayan sekiranya scammer ini menelefon kononnya ingin membantu anda untuk membuat pengeluaran atau meminta maklumat kad pengenalan.

Sebagai langkah berjaga-jaga, anda juga boleh membuat semakan nombor telefon suspek penipu ini menerusi melalui laman sesawang http:// ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat naik aplikasi “Semak mule CCID”.

Suara Sarawak