KUCHING: Pengilang dan pengimport peranti rokok elektronik kini diwajibkan membuat permohonan perakuan dan penandaan MS SIRIM daripada SIRIM QAS International Sdn. Bhd. selaku pihak berkuasa yang berwibawa dilantik oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata perkara itu adalah yang ditetapkan dalam Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan) Peranti Rokok Elektronik (VAPE DEVICE) 2022 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 yang diwartakan hari ini.

Menteri KPDNHEP Datuk Seri Alexander Nanta Linggi

Katanya perintah berkenaan akan berkuat kuasa pada 3 Ogos 2022 untuk memastikan peranti rokok elektronik yang dihasilkan mahupun diimport mematuhi standard keselamatan yang telah ditetapkan.

“Penandaan MS SIRIM hendaklah diletakkan pada peranti rokok elektronik, alat gantinya atau pada bekas peranti itu dibekalkan yang mudah dilihat oleh pengguna.

“Dengan adanya penandaan MS SIRIM pada peranti rokok elektronik menunjukkan ia telah mematuhi standard dan selamat digunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Alexander menegaskan tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh kementerian sekiranya berlaku ketidakpatuhan oleh pengilang dan pengimport.

Katanya bagi syarikat boleh didenda tidak melebihi RM 200,000 dan bagi kesalahan kali kedua atau yang berikutnya didenda tidak melebihi RM500,000.

Manakala bagi individu boleh didenda tidak melebihi RM 100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kali
kedua atau yang berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau keduaduanya sekali.

“KPDNHEP berharap isu lambakan peranti rokok elektronik yang tidak berkualiti dalam pasaran Malaysia akan dapat diatasi dengan pematuhan standard oleh pengilang dan pengimport,” katanya.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak