KUCHING: Seramai 1,058 peserta telah mendaftarkan diri bagi menyertai acara larian berhalangan dunia, Perlumbaan Spartan Sarawak 2022 yang berlangsung pada 11 dan 12 Jun ini di Institut Agrikultur Sarawak dan Institut Kepimpinan Perkhidmatan Awam Sarawak.

Dua kategori popular iaitu pecutan 5 Kilometer (20 halangan) dan Super 10 Kilometer (25 halangan) menjadi aksi pilihan para peserta yang akan mewakili negara masing-masing.

Acara dunia itu pada kali ini dijangka akan menarik minat para peserta luar susulan ia merupakan acara dunia julung kalinya diadakan di Sarawak selepas pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah
berkata, aktiviti tersebut dijangka mendapat sambutan hangat daripada luar sekali gus menghidupkan semula aktiviti pelancongan Sarawak.

“Setakat ini kita telah menerima 1,058 peserta, yang jumlahnya telah mencecah hampir separuh daripada sasaran pihak penganjur iaitu seramai 2,500 peserta.

“Saya percaya acara ini merupakan minggu pemula bagi acara berprestij Sarawak yang akan disusuli dengan beberapa acara besar termasuk Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) dan Festival Borneo Jazz Sarawak yang akan berlangsung di Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai acara tersebut yang diadakan di Bangunan Baitulmakmur II, Kuching hari ini.

Justeru beliau berharap acara tersebut tidak lagi terjejas akibat Covid-19 selepas ditunda pada tahun 2020, yang ketika itu sudah menerima 2,700 pendaftaran penyertaan daripada jangkaan 3,000 orang.

Menurutnya, acara itu juga masih mengekalkan syarat-syarat lama seperti yang dirancang pada Mac 2020 dan terbuka kepada mana-mana peserta.

Katanya, Sarawak merekodkan acara Spartan paling mencabar pada tahun 2019 di rantau Asia berikutan bentuk muka buminya yang strategik dan pelbagai.

RASMI… ABDUL Karim (enam dari kanan) menyempurnakan majlis perasmian Perlumbaan Spartan Sarawak yang akan diadakan 11 dan 12 Jun tahun ini.

Suara Sarawak