KUCHING: Kehebatan pasangan Jamal Abdillah Amit dan C. Asman Mawi nyata sukar ditandingi apabila berjaya muncul juara Pertandingan Pangkah Gasing Sempen Syawal 2022.

Gandingan dua pemangkah berpengalaman itu mudah mengenepikan pesaing hebat mereka iaitu pasangan Nik Khalid Satar dan Imran Muriady selaku naib juara pada aksi final yang berlangsung di Gelanggang Gasing Kampung Spaoh, Betong malam tadi.

Kejayaan itu membolehkan Jamal Abdillah Amit dan C. Asman Mawi membawa pulang wang tunai RM1,000, piala dan pingat.

Berbanding wang tunai RM500, piala beserta pingat diterima Nik Khalid Satar dan Imran Muriady.

Dalam pada itu, dua lagi pasangan iaitu Soelihi Bolhassan/Sahrul Nizam Suzaini dan Bujang Ujih/Ramlie Jony yang tewas diperingkat separuh akhir masing-masing menerima wang tunai RM250 serta pingat selaku pemenang tempat ketiga bersama.

Empat pasangan iaitu Ramlan Maludin/Poli Bolhi, Ramlie Putih/Ali Beraim, Suhaili Sulaiman/Sazali Badarudin dan Nor Dubi/Musa Manaf turut menerima imbuhan saguhati berupa wang tunai RM100.

NAIB JUARA…Pasangan Nik Khalid Satar dan Imran Muriady.

Majlis penyampaian hadiah telah disempurnakan Penasihat Kelab Sukan Gasing Spaoh (KSGS), Abang Suhordie Abang Zaini.

Ketika berucap pada majlis tersebut, Abang Suhordie menzahir ucapan terima kasih kepada Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban selaku Penaung KSGS atas sokongan diberikan untuk penganjuran pertandingan tersebut.

“Sokongan yang diberikan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berjaya memastikan penganjuran pertandingan tersebut berjalan lancar,” katanya.

UNTUK KENANGAN…Abang Suhordie Abang Zaini sempat merakam gambar bersama pemain sebaik berakhir saingan.
JUARA…Pasangan Jamal Abdillah Amit dan C. Asman Mawi.

 


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak