KUCHING: Bekalan kemudahan asas dan infrastruktur yang lengkap merupakan syarat penting untuk mengubah serta meningkatkan taraf ekonomi Sarawak.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya percaya rakyat akan mendapat manfaat yang besar dengan siapnya projek mega seperti Lebuhraya Pan Borneo, Jaringan Jalan Pesisir Pantai, bekalan air, elektrik dan telekomunikasi menjelang 2025 hingga 2030.

“Oleh itu, kerajaan ketika ini sangat komited menyiapkan semua projek terbabit dengan peruntukan berbilion ringgit menggunakan dana sendiri kerana mahu mengubah ekonomi kita.

“Tanpa semua kemudahan ini, sukar untuk kita meningkatkan status ekonomi kepada negeri maju berpendapatan tinggi.

“Apabila kesemua ini siap disediakan kelak, maka terpulang kepada rakyat untuk memanfaatkan kemudahan bagi menambah nilai aktiviti kita. Itulah gambaran apa yang kita sedang lakukan sekarang,” katanya pada ucapan perasmian Persidangan Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak 2022 di sini, semalam.

Ujarnya, oleh itu semua kemudahan asas terbabit hendaklah dilengkapkan 100 peratus di kawasan bandar dan juga luar bandar supaya jurang pendapatan antaranya dapat dirapatkan sekali gus membawa rakyat meneroka bidang ekonomi digital.

“Saya menyebut ini kerana era baharu pembangunan akan berasaskan pendigitalan. Tanpa air, ia akan melemahkan transformasi, tanpa elektrik dan telekomunikasi anda tidak boleh menjalankan pusat data yang merupakan kunci bagi mengubah semua sektor ekonomi.

“Dalam erti kata lain, pendigitalan adalah kunci dan enjin untuk mengubah ekonomi seterusnya meningkatkan pendapatan rakyat,” ujarnya.

Suara Sarawak