SIMANGGANG: Pesta Benak yang cukup sinonim dengan bandar Simanggang akan dianjurkan kembali tahun ini pada 9 hingga 11 September dengan acara utama regata lumba perahu.

Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis berkata rancangan menganjurkan semula pesta yang popular di Bandar Merpati Putih itu dibuat ekoran negara kini berada dalam peralihan ke fasa endemik.

“Dua tahun tidak diadakan, pasti ramai yang rindu.

“Justeru mesyuarat hari ini memutuskan Pesta Benak akan kembali, selama tiga hari bermula 9 hingga 11 September 2022,” katanya.

Beliau yang juga Adun Simanggang berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pesta Benak 2022 di bilik mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Sri Aman, hari ini.

Francis menambah pelbagai aktiviti tradisi dalam penganjuran Pesta Benak telah dirangka dengan pengisian lain seperti pameran pembangunan, pameran institusi pendidikan, bazar ria serta pertunjukan pentas pelbagai kebudayaan.

“Kita juga akan meneruskan pertandingan Ratu Benak dan pertandingan Kebaya Nyonya serta beberapa acara sampingan yang lain.

“Tetapi apa yang lebih menarik dan hendak ditonjolkan, tapak pesta yang serba baharu dan menarik selepas projek pembinaan tebingan Sri Aman siap sepenuhnya.

“Ia mempunyai kawasan tapak pesta, ada pusat budaya warisan dengan 14 lot kedai,” katanya sambil menambah tebingan baharu berkenaan akan dirasmikan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

 

SIMANGGANG… Bandar Merpati Putih

Suara Sarawak