KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak merampas pelbagai jenis rokok, minuman keras berjenama, bunga api dan mercun bernilai RM2.508 juta termasuk cukai dalam Op Kontraban pada 6 April hingga semalam.

Premis disyaki menyimpan bunga api dan mercun di Sibu diserbu Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu.

Timbalan Komander PGA Sarawak Asisten Komisioner Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata, serbuan pertama dilakukan pada 6 April oleh Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu di sebuah premis sekitar bandar raya Sibu yang disyaki tempat penyimpanan bunga api dan mercun.

Beliau berkata, serbuan kira-kira jam 11.30 pagi tersebut turut menahan seorang lelaki, 26, dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 280 kotak bunga api dan 77 kotak mercun pelbagai jenis yang disimpan di dalam premis tersebut.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM150,500 mengikut harga pasaran.

“Tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Sibu untuk tindakan dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara serbuan kedua katanya, Cawangan Risik Batalion 11 PGA Kuching telah menyerbu sebuah premis di Kota Samarahan pada 7 April lalu kira-kira jam 10.30 pagi yang disyaki dijadikan tempat penyimpanan rokok dan bir belum lulus cukai kastam.

“Pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki tempatan, 20, dan hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 87 karton rokok putih, 24 karton rokok kretek, serta 57 kotak bir pelbagai jenama bernilai RM26,310,” ujarnya.

Rokok pelbagai jenama belum lulus cukai kastam yang ditemukan semasa serbuan di sebuah rumah di Limbang.

Beliau berkata, tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kota Samarahan untuk tindakan dan siasatan di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Manakala serbuan ketiga, katanya Cawangan Risik Kompeni C Batalion 12 PGA Limbang telah menyerbu sebuah rumah dan menahan seorang lelaki tempatan berumur 54 tahun kerana disyaki menyimpan rokok belum lulus cukai Kastam.

Katanya, serbuan pada 8 April, kira-kira jam 7 pagi itu telah menemukan sebanyak 2,496 karton rokok putih, dan sejumlah 890 karton rokok kretek pelbagai jenama dengan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM506,912 termasuk cukai.

“Serbuan keempat dibuat ke atas sebuah kenderaan yang disyaki membawa muatan rokok belum lulus cukai kastam yang berhenti di satu kawasan tempat letak kereta di Sibu pada 12 April, kira-kira jam 4.50 petang.

“Seorang lelaki tempatan, 28, dan seorang lelaki warga Indonesia, 37, turut ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut telah menemukan sebanyak 8,400 karton rokok putih, dan sejumlah 17,600 karton rokok kretek pelbagai jenama termasuk kenderaan digunakan berjumlah RM1,549,560,” jelasnya memberitahu kes di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Tambahnya, pada serbuan kelima, sepasukan Cawangan Risik Batalion 11 PGA Kuching pada semalam telah menyerbu sebuah rumah di bandar raya ini kira-kira jam 12.45 tengah hari.

“Turut ditahan seorang lelaki tempatan 28 tahun dan merampas sebanyak 1,872 karton rokok putih pelbagai jenama yang disimpan di dalam rumah tersebut.

“Anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM 280,800 termasuk cukai dan siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967,” jelasnya.

Pasukan serbuan menemunkan rokok pelbagai jenama belum lulus cukai kastam disimpan di sebuah rumah di Kuching.

Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak