KUCHING: Sarawak dijangka akan membiayai pembelian sebanyak 3,800 dos pil anti Paxlovid keluaran Pfizer untuk digunakan sehingga Ogos, tahun ini.

Bagaimanapun kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Hui Kian, hanya 2,400 dos yang dapat diperuntukkan daripada kerajaan Pusat kepada negeri ini walaupun jumlah yang diperlukan di Sarawak adalah 3,800.

“Kita menjangkakan sepanjang tempoh sehingga Ogos ini, Sarawak memerlukan sebanyak 3,800 dos tambahan.

“Kerajaan Sarawak juga telah meminta Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JBPN) untuk menguruskan pembelian tersebut,” katanya.

Tambahnya, kedua-dua dos pil anti Pfizer yang bakal dibekalkan oleh Kerajaan Pusat dan pembelian Kerajaan Sarawak akan disimpan untuk kegunaan rakyat di negeri ini.

Jelas Sim yang juga merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pemberian dos itu adalah percuma dengan pantauan oleh doktor pakar bagi memastikan tiada kesan sampingan terhadap pesakit.

Setakat ini katanya, Kerajaan Pusat telah membeli sebanyak 48,000 dos yang mana satu dos adalah untuk seorang namun didalamnya terdapat lima tablet di dalam satu dos.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Ziarah Ramadan RT Cares di Surau Nurul Najihin, di sini, hari ini.

Program tersebut merupakan anjuran Komuniti Rukun Tetangga PBB pemuda dan wanita Kampung Stapok bersama Jawatankuasa Pengurusan Surau Nurul Najihin di Jalan Batu Kawah.

Dalam majlis yang sama, sebanyak 200 bubur lambuk disumbangkan kepada penduduk kampung Stapok dan sumbangan turut diberikan kepada 12 peserta belia yang menyertai aktiviti tadarus di Surau Nurul Najihin dan sumbangan sebuah kerusi roda kepada salah seorang penduduk di Kampung Stapok.

BERSAMA…Sim (baju kuning) bersama Roslan mengacau bubur lambuk sebelum diagihkan dan disumbangkan kepada penduduk kampung Stapok

Suara Sarawak