Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad memberikan tabik hormat sempena perbarisan Hari PMTTD ke-8 di padang kawad kem Muara Tuang

KOTA SAMARAHAN: Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD) bersedia mengekalkan reputasi cemerlang sebagai barisan benteng pertahanan utama di sempadan negeri Sarawak dan juga Sabah.

Perkara tersebut antara perkara ditegaskan oleh Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mardzuki Muhammad ketika berucap sempena perbarisan Hari PMTTD ke-8 di padang kawad kem Muara Tuang, pagi tadi.

Kenyataan tersebut juga seolah-olah menjadi laungan petanda pertahanan benteng utama negara terhadap pembukaan sempadan Malaysia yang telah bermula tengah malam semalam (1 April 2022).

Mardzuki berkata, kecemerlangan itu perlu dikekalkan dengan berlandaskan tiga prinsip dan lima tonggak yang telah digariskan oleh Panglima Tentera Darat ke-28 perlu dijadikan panduan oleh seluruh warga tentera.

“Pelaksanaan tugas dan amanah pemerintahan medan timur tentera darat masih berjalan lancar meskipun berhadapan cabaran penularan wabak Covid-19 sebelum ini.

“Saya percaya dalam usaha memperkasakan lagi ketumbuhan pemerintahan medan timur tentera darat, tiga prinsip dan lima tonggak adalah wadah terbaik untuk dijadikan wardah seluruh warga hasil daripada keberkesanan pelan tindakan yang telah direncanakan,” katanya.

Dedahnya, statistik kes-kes pencemaran disiplin, penyalahgunaan dadah dan kemalangan jalan raya PMTTD turut menunjukkan kecemerlangan selepas statistik kes menurun berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Beliau bagaimanapun menegaskan penurunan tersebut tidak signifikan namun perlu dilihat sebagai amaran kepada semua warga untuk langkah-langkah pengawalan lebih drastik dan sistematik perlu dilaksanakan di peringkat formasi dan pasukan.

“Sekiranya dilihat dari perspektif yang lebih menyeluruh pengawalan kes-kes ini adalah dalam kawalan pemerintah mengikut hierarki masing-masing.

“Sekiranya entiti hierarki pemerintah dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab saya percaya kes-kes pelanggaran disiplin, penyalahgunaan dadah, kemalangan jalan raya dan lain-lain kes disiplin dapat dikurangkan,” katanya.

Justeru, beliau menyeru agar panglima-panglima formasi dan pemerintah mengambil pendekatan sesuai dengan keadaan semasa berdasarkan konsep “walk extra mile, walk the talk and walk together”.

Suara Sarawak