KUCHING: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memukul individu yang memberi bantuan kepada mangsa kemalangan di Jalan Astana di sini, kelmarin.

Kejadian berkenaan tular dalam satu video berdurasi 20 saat dimuat naik ke laman Facebook memaparkan mangsa mengalami kecederaan akibat dipukul di lokasi kemalangan maut membabitkan sebuah lori dan motosikal.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata suspek, 42, ditahan di Kampung Astana Lot kira-kira jam 11.30 pagi oleh sepasukan D9, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuching.

Katanya, punca kejadian disebabkan oleh salah faham semasa mangsa cuba memberi bantuan kecemasan awal kepada penunggang motosikal.

“Mangsa disalah anggap oleh suspek sebagai pemandu lori terbabit dan dipukul oleh suspek dengan menggunakan sebatang kayu rotan.

“Rentetan daripada kejadian pukul tersebut, waris kepada mangsa telah tampil untuk membuat satu laporan polis memandangkan mangsa telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Ahsmon berkata sebatang kayu rotan yang digunakan oleh suspek semasa kejadian turut dirampas di kawasan semak berhampiran.

Katanya, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda hukuman penjara sampai 10 tahun atau denda atau sebatan atau dua daripada hukuman tersebut.

“Selain itu, satu kertas siasatan trafik turut dibuka di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” jelasnya.

Tambahnya, permohonan reman ke atas suspek akan dipohon pada hari ini, jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Kuching.

Beliau menasihatkan agar masyarakat setempat tidak mengambil tindakan sendiri diluar batas undang-undang termasuk mencederakan orang lain yang mana akan mendatangkan kesan negatif kepada individu tersebut.

Suara Sarawak