DEBAK: Sejumlah RM1,531,500 telah diperuntukkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak kepada 15,315 penerima sempena Program Sejambak Kasih Aidilfitri 2022.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam memberitahu, ia bagi meringankan beban kewangan serta menceriakan penerima bantuan bagi perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.

“Kementerian setiap tahun komited membantu meningkatkan kualiti hidup keluarga yang kurang berkemampuan.

“Justeru, tahun ini sebanyak 15,315 orang penerima bantuan JKM akan menerima sumbangan masing-masing, yang melibatkan sumbangan berjumlah RM1,531,500,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Sejambak Kasih Aidilfitri 2022 Peringkat Bahagian Betong di Pusat Sukan Riveria (RSC), hari ini.

Untuk Bahagian Betong jelasnya,ia melibatkan sebanyak 1,956 orang penerima dengan jumlah sumbangan RM195,600.

Pada majlis simbolik penyerahan tersebut, seramai 100 penerima dijemput yang turut diberikan hamper bernilai RM80.

Mereka yang tidak berpeluang hadir, sumbangan RM100 akan dikreditkan ke akaun masing masing.

Hadir sama, Pengarah JKM Sarawak Noriah Ahmad, Pegawai Kebajikan Masyarakat Bahagian Betong Uwieng Gimos, wakil Residen Bahagian Betong Amir Ridzuan Mohamad, Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang dan Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi.

 

 

Razi Sitam (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada penerima di Pusat Sukan Riveria (RSC), hari ini.

Suara Sarawak