BETONG: Projek pembinaan terusan dan penambahbaikan sistem saliran yang baharu di Debak dengan kos RM30 juta, yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dijangka siap dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Mohammad Razi Sitam memberitahu, simbolik penyerahan dokumen tender kepada kontraktor telah berlangsung pada Isnin.

“Saya amat berharap projek tersebut dapat dilaksanakan dengan baik, siap mengikut jadual iaitu selama 18 bulan bermula Mac lalu sehingga September tahun hadapan.

“Kerana, ia amat penting dan ditunggu-tunggu oleh penduduk bagi mengatasi banjir kilat yang sering membuatkan beberapa perkampungan Melayu di Debak ‘menangis’ setiap kali jika berlaku hujan lebat serentak di sebelah hulu yang bertembung air pasang besar.

“Dan, saya mewakili seluruh warga Saribas menzahirkan penghargaan kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang telah meluluskan peruntukan besar untuk menangani isu yang membelenggu penduduk di sini,” katanya.

Adun Saribas itu menyaksikan sendiri penyerahan tender bagi projek pembinaan terusan di Kampung Melayu Debak yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Bahagian Betong, pada Selasa.

Penolong Pengarah Bahagian Saliran Mesra Alam dan Bahagian Pengurusan Banjir JPS Sarawak Ir Jamesy Mijek, Jurutera Bahagian JPS Bahagian Betong Bartholomew Emily Ayu, Pegawai Daerah Betong Sofhi Jebal, Pegawai Menguasa Daerah Kecil Debak Nazari Bujang dan Temenggung Bahagian Betong Pi’ee Alwi serta barisan ketua masyarakat dan kaum turut hadir sama.

Jelasnya, cadangan penyelesaian ini diperkenalkan oleh JPS bagi mengawal limpahan air dari hulu Sungai Rimbas. Razi dalam pada itu, turut diberikan taklimat oleh pihak kontraktor mengenai kerja pembinaan dan kawasan yang terlibat seperti pembinaan pintu air.

Beliau juga menjelaskan tentang cadangan bersama dengan JPS bagi membaik pulih seluruh ban di kampung-kampung dalam Dun Saribas untuk dibentangkan kepada Premier Sarawak, kelak.

Sementara itu, Ir Jamesy turut menegaskan agar pihak kontraktor mengambil berat tentang penelitian projek supaya aspek keselamatan dititiberatkan. Ini kerana katanya, salah sebuah kawasan yang akan dibina sistem saliran ialah berdekatan sekolah. Beliau turut meminta agar projek ini dibina mengikut SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan berlakunya masalah yang lain.

Suara Sarawak