KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) bakal mengadakan kerjasama strategik dengan Petrosains bagi memupuk minat pelajar terhadap mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, antaranya menganjurkan beberapa program pembelajaran yang menyeronokkan dengan melibatkan kanak-kanak prasekolah.

“Tujuan utama kolaborasi ini adalah untuk mendedahkan serta meningkatkan minat kanak-kanak bawah usia tujuh tahun terhadap STEM melalui pendekatan yang menyeronokkan.

“Dalam masa yang sama, program tersebut hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan tumpuan juga harus diberikan kepada guru-guru prasekolah untuk mereka mempunyai kemahiran mengajar termasuk mengembangkan potensi murid,” katanya.

Fatimah berkata demikian pada sidang media selepas menerima kunjungan hormat daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) Petrosains untuk program libat urus di Kuching, hari ini.

Sementara menurut Pengarah (Komersial dan Pengalaman) Petrosains Kamaruddin Kassim, kerjasama itu bagi menggalakkan lebih banyak lawatan sambil belajar kanak-kanak prasekolah ke Pusat Petrosains PlaySmart yang terletak di Dewan Suarah, Kuching.

“Selepas ditutup hampir dua tahun, pusat ini bakal dibuka semula kepada pengunjung dalam masa terdekat selepas proses baik pulih selesai,” ujarnya sambil memberitahu tiada bayaran dikenakan untuk ke pusat terbabit kelak.

Petrosians PlaySmart merupakan pusat sains yang dibangunkan oleh Petronas dengan kerjasama Kerajaan Sarawak untuk menggalakkan rakyat terutamanya generasi muda belajar serta mencetus minat terhadap bidang STEM.

Fatimah menyampaikan cenderamata kepada Kamaruddin selepas kunjungan hormat Petrosains di Kuching, hari ini.

 

Suara Sarawak