KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) dan anak-anak syarikatnya memberi sumbangan berjumlah RM286,000 kepada 62 pertubuhan kebajikan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Majlis penyampaian sumbangan itu disempurnakan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan bertempat di Dewan Seminar Pusaka, Wisma Sumber Alam, Petra Jaya, di sini, hari ini.

Awang Tengah yang juga Pengerusi Lembaga Pengurusan Pusaka berkata, sumbangan derma tersebut merupakan aktiviti tahunan Pusaka dan anak-anak syarikatnya sejak tahun 1982.

“Ia bertujuan untuk menyokong organisasi berkenaan menjalankan aktiviti-aktiviti mereka, di samping membantu golongan yang kurang bernasib baik.

“Malah, usaha ini juga adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri bagi mewujudkan masyarakat prihatin di kalangan organisasi korporat dan melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) terhadap masyarakat,” katanya dalam ucapannya pada Majlis Sumbangan Derma Pusaka, hari ini.

Awang Tengah akui pandemik Covid-19 yang dilalui masyarakat selama ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, keselamatan, namun ekonomi juga banyak terkena tempias.

“Banyak industri telah ditutup dan banyak pengusaha yang sehingga kini masih terkial-kial untuk bertahan termasuk anak syarikat dari Pusaka sendiri.

“Bagaimanapun kita bersyukur walaupun berdepan dengan banyak masalah dan cabaran, terdapat perbadanan, kerajaan Sarawak mahupun kerajaan persekutuan telah menghulurkan bantuan kepada kerencatan aktiviti yang dihadapi masyarakat ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Il,Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak berharap sumbangan dari Pusaka tersebut akan dapat membantu persatuan dan NGO untuk melaksanakan aktiviti untuk kepentingan ahli mereka.

Malah beliau juga berharap semua yang terlibat dalam kegiatan ekonomi akan dapat pulih semula.

“Insya-Allah, kita akan teruskan tanggungjawab sosial dan program seperti ini dan melaksanakan lebih banyak program bentuk kemasyarakatan,” katanya lagi.

Awang Tengah (tengah) menyerahkan sumbangan kepada salah seorang wakil pertubuhan kebajikan dan NGO, di Dewan Seminar Pusaka, hari ini.

Suara Sarawak