KUCHING: Sarawak bakal menjadi negeri pertama mempunyai pusat Disleksia tersendiri menawarkan perkhidmatan intervensi berfokus selepas Kerajaan Sarawak telah meluluskan geran sebanyak RM3,954,500 bagi tujuan penubuhan pusat tersebut.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penubuhan itu sebagai langkah usaha Kerajaan Sarawak menangani lebih serius masalah ketidakbokehupayaan membaca dan menulis dihadapi kanak-kanak dari peringkat akar umbi.

“Kita melihat bahawa pentingnya kemahiran membaca dan menulis terutama sekali kepada kanak-kanak kerana ia bukan sahaja memberi kesan kepada perkembangan tetapi juga sosio emosi.

“Perkara ini merupakan kehidupan asas bahkan kita mahu tangani ketidakbolehupayaan (Disleksia) sehingga boleh menimbulkan isu disiplin di dalam kelas serta menyumbang masalah sosial bila mereka berada di luar kawasan sekolah disebabkan mereka tidak dapat membaca seperti rakan sebaya.

Beliau berkata demikian ditemui pemberita di Bangunan Baitulmakmur di tingkat 8 di sini, hari ini.

Tegasnya, pusat tersebut juga akan menjadi sebagai penanda aras kepada Persatuan Disleksia di kawasan lain berikutan dari segi kemudahan yang lebih baik.

Tambahnya, Kerajaan Sarawak turut menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Disleksia Sarawak bagi mewujudkan guru-guru terlatih Disleksia dengan kaedah yang digunakan.

Dedahnya, usaha gigih yang dipamerkan oleh Persatuan Disleksia Sarawak dalam membantu golongan-golongan tersebut di samping bergiat aktif melaksanakan aktiviti bagi mengumpul hasil kutipan derma akhirnya mendapat perhatian daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

“Kerajaan Sarawak sedia memberi bantuan kepada bersungguh-sungguh serta menunjukkan komitmen tinggi dan keberhasilan yang baik dalam menyumbang kesejahteraan sosial dalam masyarakat kita,” katanya.

Pusat berkeluasan tiga tingkat itu dijangka siap sepenuhnya pada 2024 dengan memuatkan seramai sekitar 60 kapasiti pelajar dalam satu masa berbanding pusat terdahulu memuatkan sekitar 10 hingga 15 peserta sahaja.

Pusat itu dibina di tapak seluas 0.607 hektar di Lot 6592, Blok 225, KNLD, Desa Wira, Batu Kawa di sini setelah Kerajaan Sarawak memperuntukkan tanah pada 24 Disember 2014.

Pusat baharu itu akan mempunyai sepuluh bilik darjah, bilik persidangan, pejabat, dewan pelbagai guna dan asrama untuk menampung keperluan pelajar dan keluarga datang dari luar Kuching.

SERAH… Fatimah (tiga dari hadapan kanan) menyerahkan cek peruntukan geran oleh Kerajaan Sarawak kepada wakil Persatuan Disleksia Sarawak

Suara Sarawak