Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Ronald Sagah Wee Inn.

KUCHING: Projek pembinaan Pusat Sains Sarawak yang bernilai RM200 juta sedang berjalan lancar, kata Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Ronald Sagah Wee Inn.

Menurutnya, setakat ini kerja-kerja pembersihan serta lapangan tapak bagi pembangunan tersebut sudah selesai dan menunggu untuk memasuki peringkat pembinaan seterusnya.

“Pusat baharu ini dijadualkan siap menjelang 2025, tetapi kami berharap ia dapat disiapkan lebih awal iaitu pada tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Bengkel Pelan Induk Ke-4 dan Ke-5 Pusat Sains Sarawak anjuran Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pusat Sains Singapura di sini, hari ini.

Menurutnya, pusat yang dibangunkan di atas tapak seluas 10.8 ekar itu terletak berhampiran bangunan ibu pejabat Sarawak Energy (SEB), di Jalan Stadium, Petra Jaya, di sini.

Untuk rekod, rundingan membangunkan pusat berkenaan bermula pada 2017 dan merupakan idea Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, antara inisiatif kerajaan negeri untuk mempromosikan STEM kepada pelajar di negeri ini.

Suara Sarawak