SERIAN: Penubuhan Pusat Service Sarawak di Serian mencatatkan kejayaan luar biasa dalam menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Ia susulan pusat tersebut berjaya mencatatkan seramai 300 ke 500 pelanggan dalam satu hari bagi memudahkan urusan rakyat di kawasan berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata di Serian, pusat tersebut menghimpunkan lebih 38 agensi kerajaan yang bermatlamat sebagai pemecah dinding antara kementerian, jabatan dan agensi yang lazimnya mengamalkan perkhidmatan secara berasingan.

Menurutnya, ia membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan terbaik yang menekankan tiga elemen utama iaitu mudah, dilaksanakan dengan pantas dan selesa.

“Sehingga 31 Mac 2022, pusat ini telah memberikan perkhidmatan kepada lebih daripada 28,000 (28,826) pelanggan dengan lebih daripada 41,000 (41,962) transaksi.

“Justeru, penubuhan pusat pentadbiran Kerajaan Sarawak ini merupakan usaha Kerajaan dalam memudahcarakan rakyat berurusan dengan agensi-agensi Kerajaan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pusat Service Sarawak Serian, di sini hari ini.

Tambah Jaul, pusat itu turut menyampaikan pelbagai perkhidmatan melalui pelbagai saluran perkhidmatan seperti kaunter perkhidmatan, kiosk, portal dan ‘mobile app’.

“Service Sarawak merupakan salah satu inisiatif transformasi perkhidmatan awam negeri Sarawak untuk menambah baik dan memantapkan lagi sistem penyampaian perkhidmatan barisan hadapan agensi-agensi Kerajaan Sarawak,” katanya.

Menjelas lanjut beliau berkata Pusat Service Sarawak di Serian itu turut menyediakan perkhidmatan yang sama seperti di lima pusat Service Sarawak sedia ada iaitu di Kuching, Sibu, Miri dan Sri Aman.

Katanya, waktu operasi adalah setiap Isnin hingga Sabtu daripada jam 8 pagi sehingga 5 petang dan ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

Jaul yakin pusat ini pasti akan memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk di Bahagian Serian.

“Pertama, semakan dan bayaran pelbagai bil seperti air, elektrik, cukai pintu, cukai tanah dan lain-lain di satu kaunter yang sama, menggunakan MyKad sahaja tanpa mengemukakan bil asal.

“Kedua ialah perkhidmatan adalah tidak terhad kepada semakan dan bayaran bil sahaja kerana pada masa ini terdapat 51 jenis perkhidmatan daripada 38 agensi kerajaan Sarawak dapat dibuat di pusat ini.

“Ketiga, selain daripada kaunter, pusat ini turut menyediakan kiosk pembayaran yang boleh digunakan pada bila-bila masa selepas pusat ditutup,” kata Jaul.

RASMI… Datuk Amar Jaul Samion merasmikan Pusat Service Sarawak Serian.. turut kelihatan Residen Serian Tuah Suni

Suara Sarawak