“ MARHABAN ya Ramadan”, sekali lagi umat Islam merasai nikmat bulan penuh rahmah, bulan keberkatan, bulan maghfirah yang sememangnya ditunggu tunggu saban tahun.

Syukur, tahun ini ia dilalui dengan lebih istimewa. Istimewa dalam konteks rindu yang membuak-buak seperti sebelum pandemik Covid-19.

Ia kerana hampir semua aktiviti pengimarahan dibenarkan.

Berbanding dua tahun sebelumnya yang sungguh berbeza, ekoran impak ancaman wabak Covid-19 serta penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Perbezaannya bukan sedikit, sebaliknya norma masyarakat harus disesuaikan dengan arahan serta nasihat kerajaan demi kebaikan bersama.

Antaranya tiada sebarang aktiviti atau solat sunat tarawih berjemaah di masjid mahupun surau, penganjuran bazar Ramadan dibatalkan, pembayaran zakat digalakan secara dalam talian, tiada aktiviti ziarah kubur dan pelbagai lagi.

Sedangkan, itulah yang mewujudkan suasana meriah Ramadan selama ini.

Tetapi, tahun ini semua itu dapat dinikmati kembali – Syukur, Alhamdulillah.

Penulis yakin, umat Islam pastinya rindu suasana seperti sebelum wujudnya Covid-19.

Bagaimanapun itulah aturan Allah SWT yang cukup sempurna.

Kita yakin di sebalik detik sukar yang dihadapi seluruh dunia sejak Mac 2020, ketika ini Yang Maha Berkuasa tunjukkan hikmah tersembunyi.

Justeru, kita harus faham setiap yang berlaku, InsyaAllah pasti dijanjikan sesuatu yang lebih baik.

Apa yang penting, walaupun banyak kelonggaran dinikmati sejak 1 April lalu, janganlah kita semua leka dan alpa.

Terus tingkatkan penyesuaian kehidupan masing-masing dengan norma baharu.

Sentiasa berfikiran positif agar kita lebih melihat kebaikan daripada keburukan sepanjang Ramadan dalam tempoh fasa peralihan endemik ini.

Ramadan harus dihayati dengan sebaik-baiknya kerana di dalamnya terdapat ganjaran yang begitu besar dijanjikan kepada umat Islam yang tidak mensia-siakannya.

Jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja dan ia amat merugikan.

Sebaliknya, manfaatkan Ramadan sebagai madrasah yang membentuk dan mendidik diri menjadi lebih baik. Kerana puasa dianggap platform pembentukan disiplin seseorang.

Marilah bersama-sama kita menyambutnya dengan tenang bersama-sama keluarga tersayang.

Satu lagi yang menarik pada Ramadan ini, Allah SWT membuka pintu rezeki yang luas kepada mereka yang berjuang di bazar Ramadan.

Mungkin dua tahun lalu ada yang tidak membuka langsung perniagaan akibat kekangan Covid-19, sehingga menyebabkan isu ekonomi keluarga.

Jadi, tahun ini pasti direbut oleh mereka.

Semoga kesemua yang berniaga di bazar Ramadan atau di mana-mana sahaja akan dibuka luas pintu rezeki.

Untuk meningkatkan ekonomi masing-masing.

Kerana memasuki fasa endemik, kita akan berhadapan situasi kehidupan hampir seperti dahulu yang memerlukan belanja harian yang agak tinggi.

Ditambah hari ini, cabaran utama kenaikan harga barang yang sungguh membebankan.

Suara Sarawak