
KUCHING: Seramai 100 orang terdiri daripada golongan asnaf, kurang berkemampuan dan kurang upaya di Kampung Paya Mebi, di sini menerima sumbangan sempena meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.
Sumbangan berupa duit raya, beras serta bakul makanan itu adalah disumbangkan oleh penduduk kampung sendiri, syarikat korporat serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Kitang Lo Khere Chiang.

Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan, PBB Ranting Kampung Paya Mebi, Shamsudin Unai berkata pemberian sumbangan berkenaan adalah program tahunan pihaknya sempena bulan Ramadan.
“Sumbangan ini bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Khatamal Quran Sumbangan Kasih Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa anjuran Biro Sosial dan Kebajikan PBB Ranting Kampung Paya Mebi dengan kerjasama jawatankuasa pengurusan Masjid Al-Muhajirin, Kampung Paya Mebi.
Penyerahan sumbangan yang diadakan di Masjid Al-Muhajirin, Kampung Paya Mebi turut disempurnakan oleh Khere Chiang.
Sempena majlis, Khere Chiang yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) turut meluangkan masa berbuka puasa bersama-sama penduduk Kampung Paya Mebi.
Justeru, dalam ucapannya, Khere Chiang berkata akan terus membantu rakyat di dalam konstituensinya.
“Selain mendapatkan peruntukan daripada kerajaan untuk membina dewan, gelanggang futsal dan sebagainya, saya juga akan secara adil mengagihkan geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada masjid, badan bukan kerajaan (NGO) termasuk nelayan,” katanya.
Beliau juga berkata telah meluluskan sebanyak RM100,000 untuk menaik taraf dewan Kampung Paya Mebi dan RM50,000 untuk membaik pulih gelanggang futsal Kampung Paya Mebi.
