SERIAN: Sejumlah RM150,000 peruntukan telah diluluskan bertujuan bagi pembangunan di Kampung Darul Islam Belimbing di sini.

Ahli Parlimen Serian Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, peruntukan tersebut diluluskan di bawah projek transformasi luar bandar (RTP) bagi membina pagar baharu mengelilingi masjid tempatan serta membina gerai.

Beliau berkata, penduduk setempat telah mengemukakan rayuan untuk membina gerai untuk mereka berniaga ekoran mahu menceburi perniagaan perdagangan.

“Justeru, saya memperuntukkan berjumlah RM300,000 untuk mereka membina gerai tersebut.

“Projek ini akan dipantau oleh Pejabat Residen Serian,” katanya pada majlis berbuka puasa di Kampung Darul Islam Belimbing, semalam.

Pada majlis tersebut, Sagah yang juga Adun Tarat turut mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk kampung dan tetamu yang menghadiri program berbuka puasa tersebut.

Ia dianjurkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Islam Serian (LAKIS) dan Pertubuhan Kebajikan Dana Kita dengan kerjasama Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Darul Islam Belimbing (JKKK).

Mengulas mengenai program berbuka puasa tersebut, Sagah turut berkata bahawa umat Islam dan Kristian mempunyai sedikit persamaan walaupun berbeza fahaman dan persepsi.

“Walaupun ini mungkin bulan suci bagi umat Islam, kami orang Kristian juga berada dalam tempoh bertaubat dan berpuasa.

“Justeru kita di Sarawak mesti mengekalkan perpaduan antara kaum dan agama,” tambah Sagah.

Dalam majlis yang sama, Pertubuhan Kebajikan Dana Kita juga telah memberikan 20 bakul makanan kepada golongan asnaf di kampung tersebut.

Manakala Baitulmal Serian dan Pejabat Residen Serian sama-sama menyumbangkan cecair pembasmi kuman serta sumbangan lain.

Turut hadir Setiausaha Politik Perdana Sarawak Damen Rejek dan Residen Serian Tuah Suni.

Sagah (tiga kiri) mengacau bubur lambuk sebagai acara simbolik untuk memulakan program berbuka puasa

Suara Sarawak