Anggota Unit Risikan Marin PPM Wilayah 5 Bintulu memotong kunci pada bahagian pintu kontena.

BINTULU : Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPMW5) Bintulu, membuat rampasan rokok dianggarkan bernilai RM790, 500 dalam Op Kontraban yang dijalankan di sini, pagi tadi.

Komander PPM W5 Sarawak, Asisten Komisioner Zulfikar Mohd Ghazali berkata rampasan dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah kontena dalam keadaan berkunci di kawasan tepi jalan, berhadapan Jalan Bintulu -Tatau, pada jam 4 pagi.

Menurutnya, pasukan operasi telah menunggu hampir dua jam, namun tiada pemilik yang menuntut atau mengaku kontena tersebut.

“Pasukan operasi memotong kunci pada bahagian pintu kontena tersebut dan hasilnya menjumpai 105 kotak rokok yang dipercayai rokok tidak bercukai.

“Kesemua rokok dan kontena ditahan dan dibawa balik ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Bintulu untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah beliau lagi, semua barang rampasan diserah kepada Pegawai Penyiasat Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967.

Anggota Unit Risikan Marin PPM Wilayah 5 Bintulu memeriksa kotak dipercayai mengandungi rokok tidak bercukai.

Suara Sarawak