Rompak tulang mayat

SIBU: Sambutan perayaan Ching Ming bagi memperingati nenek moyang dan membersihkan kawasan tanah perkuburan ahli keluarga yang meninggal dunia bertukar suram kali ini apabila tujuh kubur diceroboh oleh individu tidak bertanggungjawab di sini.

Kejadian itu berlaku di sebuah tanah perkuburan Cina, Bukit Aup di sini menggemparkan ahli keluarga terlibat selepas mendapati kubur ahli keluarga mereka dirosakkan serta dipecahkan ketika datang ke kubur tersebut.

Lebih menyedihkan, keranda yang berada dalam lubang kubur juga turut diseret keluar serta dibakar.

Pengerusi Persekutuan Persatuan Kubur-kubur Cina Bahagian Sibu Kaunselor Teo Boon Siew ketika dihubungi memberitahu, kejadian itu disedari oleh ahli keluarga berkenaan ketika datang ke kubur tersebut.

Jelas beliau, salah seorang ahli keluarga si mati memaklumkan kepadanya mengenai perkara tersebut pada sekitar jam 5 petang Ahad.

Rentetan itu, beliau serta jawatankuasanya memutuskan untuk datang bagi meninjau keadaan yang dimaklumkan itu.

“Ya, memang benar. Semuanya ada tujuh buah kubur yang kena.

Sebab kubur di sini tidak ditanam di dalam tanah dan keranda hanya dimasukkan ke dalam lubang yang ditutup menggunakan simen dan bata.

“Keranda juga diseret keluar dan dibakar di semak berhampiran. Kita tidak tahu apa motif sebenarnya individu ini berbuat demikian,” tegasnya.

Beliau berkata, kesan keranda yang dibakar itu dapat dilihat disemak berhampiran dan berdasarkan kesannya ia dipercayai dilakukan kira-kira seminggu lalu.

Apa yang pelik, jelas beliau, tulang-temulang si mati langsung tidak ditemui.

“Kita percaya mereka yang menjalankan kegiatan ini hanya mahukan tulang si mati. Kenapa saya berkata begitu, sebab tiada langsung satu ketul pun tulang dijumpai.

“Mungkin mereka ini mengumpul tulang si mati untuk digunakan sesuatu tetapi kita tidak tahu apa motifnya mereka berbuat demikian,” kata Teo.

Beliau mengecam tindakan sedemikian yang dianggapnya tidak menghormati orang yang sudah meninggal dunia.

Beliau juga percaya si pelakunya adalah orang yang berpengalaman tentang selok belok urusan pengebumian.

Teo juga turut menasihati keluarga si mati terlibat agar membuat laporan polis.

Menurutnya, kesemua ahli keluarga sudah membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Merah hari ini.

Suara Sarawak