KUCHING: Seorang prebet tentera menukar pengakuan kepada tidak bersalah di hadapan Mahkamah Sesyen di sini hari, atas pertuduhan merompak wang berjumlah RM600 milik seorang wanita di hadapan sebuah kedai farmasi, Mac lalu.

Terdahulu, pesalah muda yang berusia 20 tahun itu mengaku bersalah sebelum menukar pengakuan selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Hakim Afidah Abdul Rahman.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Aiman Mutallib Mohamad Shariff tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan kesalahan rompakan adalah jenayah serius yang tidak boleh dijamin dan tertuduh mempunyai risiko untuk mengganggu mangsa atau mangsa yang lain.

Sebelum ini, mahkamah membenarkan tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin tunai RM5,000 beserta seorang penjamin tempatan.

Namun, Hakim Afidah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 30 Mei untuk sebutan semula bagi pengurusan kes.

Selain itu, tertuduh juga dilanjutkan reman sehingga tarikh sebutan semula bagi pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merompak wang berjumlah RM600 milik seorang wanita berusia 22 tahun di dalam sebuah kereta jenis Produa Axia.

Tertuduh melakukan perbuatan itu di hadapan sebuah kedai farmasi, Batu 7, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 6 Mac lalu.

Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan.

Difahamkan, tertuduh melakukan kegiatan itu kerana terdesak memerlukan wang untuk perbelanjaan yang tidak mencukupi.

tertuduh(baju hitam) dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Suara Sarawak