Ronda kampung lawan tidur lena

BUKAN semua orang bersedia untuk mengorbankan masa rehat dan tidur pada sebelah malam semata-mata untuk melakukan rondaan di kawasan kampung ataupun taman perumahan tempat mereka tinggal.

Daripada bersengkang mata, lebih baik tidur di rumah.

Jika tidak pun, berehat di ruang tamu rumah sambil menghirup kopi panas dan menonton rancangan televisyen, lebih-lebih lagi jika ada siaran langsung perlawanan bola sepak liga di Eropah pada malam itu.

Walaupun demikian, ada juga penduduk kampung dan taman perumahan yang bersedia untuk berembun di jalan raya semata-mata untuk memastikan keselamatan kawasan kediaman mereka.

Masing-masing bermotosikal mengelilingi kampung dan taman perumahan sambil membawa lampu suluh dan rotan.

Mereka ini masuk dari satu lorong ke satu lorong ketika orang lain sedang nyenyak tidur di dalam rumah.

Skim Rondaan Sukarela

Ini antara inisiatif yang diambil oleh penduduk yang menubuhkan Skim Rondaan Sukarela (SRS), satu unit di bawah Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga kampung dan taman perumahan.

Memetik laman web Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), SRS adalah satu skim yang dipohon oleh sekumpulan pemastautin dalam Kawasan Rukun Tetangga yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 20 orang dan berumur 18 tahun ke atas.

SRS dilancarkan secara rasmi pada 21 Februari 2004 di Pulau Pinang.

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 April 2004 memutuskan untuk memperluaskan SRS di seluruh negara.

Tujuan utama penubuhan SRS adalah untuk membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala di komuniti setempat.

Dan, permohonan untuk mengendalikan SRS di keseluruhan atau sebahagian kawasan akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kawasan Rukun Tetangga atau Jawatankuasa Sektor Pendaftaran.

Peranan Kawasan Rukun Tetangga dalam menjaga keselamatan telah diperkasakan apabila SRS diiktiraf dan dipromosikan sebagai salah satu pelaksana utama dalam inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) — untuk meningkatkan keselamatan dan mencegah jenayah di bawah GTP dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia dan Rela serta pihak berkuasa tempatan.

Saya antara yang sempat meluangkan sedikit masa menyertai SRS.

Pada peringkat awal penyertaan, memang agak kekok kerana perlu meronda di kawasan perumahan pada waktu malam bersama-sama rakan yang lain.

Ketika itu, belum ramai lagi penduduk yang menyertai SRS.

Mungkin kerana kekangan masa ataupun tidak tahu kewujudan SRS.

Banyak juga masa digunakan untuk mempromosikan kewujudan SRS ini.

Dengan inisiatif seorang rakan mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk penduduk taman perumahan kami, maka kehadiran ahli SRS ketika membuat rondaan mula diketahui penduduk lain.

Tidak sekadar itu, jumlah ahli baharu yang turut serta dalam rondaan berkala secara mingguan juga semakin meningkat.

Setiap minggu, akan ada ahli baharu menyertai rondaan.

Lebih mengukuhkan lagi peranan SRS apabila ada antara penduduk yang merupakan anggota polis dan bekas polis turut serta dalam rondaan ini.

Bincang keselamatan penduduk

Penyertaan rakan polis dan bekas polis dalam SRS sebenarnya satu rahmat.

Ketika duduk-duduk santai di pusat SRS, ahli dapat bertanya banyak tentang isu keselamatan di kawasan kampung dan taman perumahan.

Ia dijadikan medan untuk belajar tentang selok-belok undang-undang terutama apabila melibatkan pengesanan pelaku jenayah di kawasan kampung dan taman perumahan.

Malah, ini juga ruang seminggu sekali kepada penduduk untuk membincangkan tentang keselamatan serta perancangan pembangunan kampung dan taman perumahan.

Malah sesuai dengan unit di bawah Kawasan Rukun Tetangga, SRS juga adalah ruang untuk mengajak penduduk mengeratkan silaturahim.

Ini kerana ketika rondaan, ahli SRS akan berjumpa dengan penduduk yang kebetulan masih berada di luar rumah.

Walaupun singkat, sedikit perbincangan dapat dibuat terutama dalam usaha meningkatkan perpaduan kaum dan pencegahan jenayah.

SRS ini sebenarnya adalah ruang dan peluang untuk penduduk menunjukkan sikap peduli dan tanggungjawab mereka terhadap kawasan kejiranan.

Jika semua penduduk peduli dengan keselamatan dan menyertai SRS, mungkin rondaan dapat diadakan setiap malam — mengikut jadual yang ditetapkan.

Tetapi, jika hanya menyerahkan soal menjaga keselamatan kawasan kediaman kepada beberapa ahli SRS, pasti kejadian jenayah akan terus berlaku.

Oleh itu, ketepikan rasa mengantuk dan buang sikap tidak mahu terlibat dalam aktiviti sukarela dan hadirlah ketika program rondaan diadakan.

Memang rondaan SRS tiada bayaran elaun tetapi ia mampu mengurangkan kes jenayah di kawasan kampung dan taman perumahan.

Atur masa anda sendiri. Cari masa yang sesuai untuk turut serta meronda.

Ini adalah tanggungjawab bersama, bukan seorang dua sahaja.

Menarik sebenarnya membuat rondaan bersama-sama rakan sekampung, setaman perumahan yang berbilang bangsa dan agama.


Dapatkan kandungan menarik di media sosial kami:  Facebookk | Tiktok | InstagramYoutubee Twitter |
 
!Peringatan! Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara Suara Sarawak. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.

Suara Sarawak