KUCHING: Seorang lelaki dari Kota Belud Sabah dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini, atas lapan pertuduhan menipu seorang lelaki tempatan berkaitan tender atau projek pemasangan lampu LED yang tidak wujud di Sabah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Sarawak Superintendan Maria Rasid berkata, individu terbabit dituduh di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di tiga Majistret berasingan.

Dedahnya, akibat daripada kejadian itu mangsa, 53, dari Batu Kawa, mengalami kerugian sebanyak RM470,000 seperti dilaporkan pada 16 Januari 2022 lalu.

Menurutnya, tertuduh, Jaafar Zakaria, 57, yang tidak diwakili peguam bela mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan.

“Mahkamah telah membebaskan tertuduh dengan jaminan tunai RM2,000 dan jaminan mahkamah RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan bagi tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret 1.

“Sementara itu, di Mahkamah Majistret 2, mahkamah telah membebaskan tertuduh dengan jaminan tunai RM10,000 bagi tiga pertuduhan dengan dua orang penjamin tempatan.

“Di Mahkamah Majitret 3 tertuduh dibebaskan dengan jaminan tunai RM2,000 bagi dua lagi pertuduhan yang dibacakan dengan seorang penjamin tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, tertuduh telah membayar kesemua ikat jamin terbabit berjumlah RM55,000 secara keseluruhan.

Ujarnya, tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan (PTCM) telah ditetapkan semula pada 24 Mei 2022 jam 9 pagi.

TERTUDUH….Tertuduh (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret untuk pertuduhan

Suara Sarawak