PADAWAN: Polis mengklasifikasikan semula kes rusuhan yang berlaku di premis kedai makan di Jalan Matang, di sini sebagai kes bunuh setelah seorang dari mangsa meninggal dunia.

Mangsa, 30, cedera dalam kejadian tersebut meninggal dunia pada jam 10.10 malam ketika menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS).

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kes tersebut sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 148 dan kemudiannya diklasifikasikan kepada Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Seramai 16 orang telah ditangkap dan kesemua direman untuk membantu siasatan.

“Polis masih menyiasat dari semua sudut untuk mendapatkan keterangan kes,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) sementara kebanyakan CCTV di kedai berdekatan mengalami kerosakan.

Katanya, sehingga kini, tiada saksi yang tampil untuk membantu siasatan.

Pada 16 April lalu, mangsa bersama dua lagi lelaki berumur lingkungan 30-an dan 40-an cedera parah dalam rusuhan tersebut.

Punca kejadian disebabkan masalah pembahagian keuntungan perniagaan sehingga menimbulkan ketidakpuasan hati.

Suara Sarawak